*BK2 start* *BK3 start*

Anda pasti mahu tahu ada beza atau tidak jika kita letakkan tanda koma pada harga. RM1,499 atau RM1499? Mana yang lebih berkesan untuk datangkan jualan?

Baik, sebelum itu, kita harus faham bagaimana jualan itu sendiri terjadi.

Mula-mula, peniaga akan tawarkan produk atau servisnya kepada prospek. (Ya, sudah pasti di sini pun banyak perkara yang perlu di ambil berat seperti pemilihan audien, ayat jualan dan pemasaran)

Selepas prospek sudah faham tawaran yang peniaga berikan, mereka akan mula timbang tara antara HARGA dan NILAI yang bakal mereka perolehi.

Adakah nilai yang mereka perolehi melebihi harga yang mereka perlu bayar?

Jika prospek nampak nilai yang mereka bakal terima adalah lebih tinggi berbanding harga, mereka akan membeli.

Tetapi, jika mereka merasa yang sebaliknya, mereka tidak akan membeli.

Itulah secara asasnya.

Jadi, apa pula kaitan antara jualan dan harga? Apa kaitannya dengan tanda koma?

Golden Rule Mengenai Harga: Minda Pelanggan yang Tentukan Sama Ada Produk itu Murah atau Mahal

 

Perasan tak ada orang sanggup membeli air mineral sparkling berharga RM11 sebotol. Padahal air itu tak ada sebarang perisa istimewa pun.

Kenapa?

Perasan tak ada orang sanggup membeli kasut berharga ribuan ringgit tetapi dia tak pula sanggup untuk membayar RM2 untuk masuk tandas awam. Dia tetap mencari tandas 30 sen.

Kenapa?

Poin yang cuba disampaikan di sini adalah:

Nilai sesuatu produk itu berbeza bagi setiap manusia

 

Harga bukanlah setakat “adakah ia berbaloi dibeli atau tidak?”.

Sebagai seorang usahawan, menjadi tugas kita untuk sampaikan berapakah nilai sebenar produk atau servis kita kepada pelanggan.

Malah, itulah tugas UTAMA kita sebenarnya.

Ingat,

Kita yang tentukan apakah persepsi pelanggan terhadap nilai produk kita

 

Bagaimana?

Kita tak perlu pun turunkan harga untuk buat produk itu nampak “mampu” dibeli. Kita tak perlu buang harga untuk melariskan jualan.

Jadi, apa yang perlu kita buat?

Kita hanya perlu tukar cara pamerkan harga tersebut

 

Mari saya terangkan.

Satu kajian telah dibuat dalam Jurnal Psikologi Pengguna di Amerika. Sekumpulan pengkaji telah menguji beberapa format harga.

Spesifiknya, mereka menguji antara $1,499 dan $1499. Satu ada tanda koma dan satu lagi tiada tanda koma.

Kemudian, mereka minta responden menyebut dua harga ini secara kuat.

Ini apa yang berlaku:

Apabila responden menyebut harga tanpa koma, 93% daripada mereka menyebut “empat belas sembilan puluh sembilan”

Apabila responden sebut harga yang ada koma, 84% menyebut “satu ribu empat ratus sembilan puluh sembilan.”

Menarik bukan? Kenapa cara sebutannya berbeza sedangkan angkanya sama sahaja?

Koma buatkan minda responden tafsir harga yang dibacanya adalah “ribu-ribu”. Tanpa koma pula buatkan mereka fikir ia hanyalah “ratus-ratus” sahaja. Ratus lebih murah berbanding ribu bukan?

Jadi, sebagai usahawan, kita perlu ambil perhatian terhadap perkara ini.

Dengan koma, ia buatkan harga itu punyai lebih banyak abjad untuk disebut. Lebih panjang. Sekaligus buatkan harga itu kelihatan lebih mahal.

Tambahan lagi, harga dengan koma akan buatkan ia kelihatan lebih BESAR di atas kertas. Alasannya sebab ia mengambil ruang yang lebih besar berbanding harga tanpa koma.

Dengar macam tidak logik bukan? Tetapi itulah keputusannya selepas kajian dibuat.

Bagaimana kita melihat harga itu mempengaruhi cara kita berfikir tentangnya, kemudian mengubah cara kita menyebutnya dan akhirnya mengubah cara kita menilainya.

Poin yang boleh kita pelajari di sini: JANGAN LETAK TANDA “KOMA” PADA HARGA.

Tanpa koma, harga tersebut kelihatan seperti lebih murah.

Tetapi, hati-hati… Ada pengecualiannya…

 

Jika anda menjual produk dengan harga menjangkau 6-angka, seperti hartanah, sila tulis koma.

Kenapa?

Kerana sekarang harga tersebut sudah menjadi susah untuk dibaca dan disebut. Terlalu banyak digit.

Jadi, tindakan tidak menulis koma adalah sangat tidak produktif bagi situasi harga 6-angka.

.

.

Belajar sesuatu daripada artikel ini? Mohon share ya.

p.s.: Sudah like page saya? Klik sini –> Halif Bostaman